|
Awaluddin
ma'rifatullah
Awal agama mengenal Allah.
Kenali Allah
dengan mengenali dirimu. Kenali dirimu dengan
mengenali makhluk ...
Siapakah
Allah ?
Siapa pun Allah itu,
dialah tuhan yang mencipta langit dan bumi beserta seluruh
isinya. Renungkanlah segala makhluk di sekeliling kita. Tiap
suatu dengan sifat, af'al dan kudratnya yang tersendiri.
Perhatikanlah keindahan muka bumi dengan flora dan faunanya
yang berbagai rupa, af'al dan kudratnya. Apakah semua itu wujud
dengan sendirinya ? Perhatikanlan langit dengan mentari yang
bersinar terang menyuluh alam di siang hari dan bulan serta
bebintang berkerdipan menghiasinya di malam hari. Apakah
segalanya itu wujud dengan sendirinya ? Sekiranya kamu
menyangka segalanya itu ada yang menciptakannya, maka di
situlah bermulanya kepercayaan kepada Sang Pencipta, Rabb
ul-'Alamin,Tuhan sekalian alam !
Allahu Rabb
ul-samaawatiwal-ardz
Allah itu Tuhan
langit dan bumi - Allah itu adalah Tuhan yang mencipta
langit dan bumi beserta segala isi dan peraturannya.
Mempercayai bahawa adanya Sang Pencipta, Allah, Tuhan
sekalian alam bukanlah memadai bagi seorang manusia kerana
manusia yang diciptakan Allah itu dengan sifat kejadiannya
yang luar biasa sempurna berbanding makhluk yang lain
tentunya bukan sekadar saja-saja atau suka-suka.
Untuk apakah
manusia dicipta ?
Aku seorang manusia
...
Untuk apakah manusia dicipta ? Untuk apakah aku dicipta ?
Manusia dicipta dengan
sifat dan kudrat yang tertentu beserta akal yang luarbiasa
kemampuannya dan diletakkan sebagai teratas dalam susun atur
peranannya di muka bumi. Setiap makhluk yang diciptakan
Allah di langit dan di bumi mempunyai peranan masing-masing
dan diciptakan pula baginya sifat beserta kudrat yang
bersesuaian dengan peranannya.
Seekor nyamuk yang kecil,
sejak berupa jejentik lagi telah sedia menjalankan
peranannya menjadi makanan kepada anak-anak ikan. Setelah
sempurna metamorfosisnya, ia menjadi nyamuk yang berperanan
menjadi makanan kepada sang katak. Sang katak yang menikmati
si nyamuk sebagai rezekinya itu pula melaksanakan tugasnya
menjadi makanan kepada sang ular dan seumpamanya. Begitulah
sebahagian dari peranan makhluk Allah di muka bumi ini.
Bagaimanakah pula peranan seorang manusia ?
Manusia yang dianugerahi
sifat dan kudrat yang istimewa beserta akal yang luarbiasa
kemampuannya terletak sebagai teratas dalam susun atur
peranannya di muka bumi sudah tentu mempunyai tugas yang
amat penting dan peranan yang amat besar. Berbanding makhluk
yang lain, setiap manusia dianugerahi sifat, af'al dan
kudrat yang berbeza antara sesama manusia itu sendiri sesuai
dengan peranannya yang juga berbeza antara satu sama lain.
Untuk mengenal pasti tugas, peranan dan tanggungjawab
khusus kita sepanjang hayat di muka bumi ini, maka kita
perlu mengenali diri dan menyesuaikannya dengan tugas,
peranan dan tanggungjawab khusus kita sebagai seorang
individu manusia bagi menyempurnakan susun atur kehidupan di muka bumi
ini.
Bagi makhluk lain, mereka
tidak dibezakan peranan dan tanggung jawabnya sesama jenis
mereka melainkan terlalu sedikit berbanding bangsa manusia.
Setiap bangsa mempunyai sifat dan kudrat yang sama sahaja
bersesuaian dengan peranan mereka di muka bumi ini. Lembu
misalnya, ia hanya gemar meragut rumput dan tidak pandai
memilih makanan lain seperti burger, spagheti, nasi ayam dan
sebagainya. Maka peranannya tetap sebagai seekor lembu
seperti lembu yang lain juga. Pun begitu peranannya tidak
boleh diperkecilkan kerana lembu itu sendiri mempunyai peranannya
dalam menyempurnakan susun atur kehidupan di muka bumi ini.
Manusia pula mempunyai
sifat, af'al dan kudrat yang berbeza antara sesama manusia
itu sendiri. Manusia memilih makanan yang disukainya malah
diberikan akal yang membolehkannya mengolah cita rasa
makanan kesukaannya sendiri. Manusia dianugerahi kehendak
yang pelbagai dan dianugerahi juga kudrat untuk memenuhi
kehendaknya yang pelbagai itu. Segalanya itulah yang
dinamakan nikmat. Nikmat yang pelbagai itu pula danugerah
Allah kepada manusia kerana peranannya yang pelbagai pula.
Nikmat itu dianugerahkan kepada manusia kerana Allah
telah mengaturkan supaya manusia itu melaksanakan tugas,
tanggung jawab atau peranannya bersesuaian dengan
kehendaknya terhadap nikmat itu sendiri. Misalnya, bagi
menyempurnakan peranan manusia untuk melahirkan zuriat dan
mengembang biak bangsa manusia, Allah menganugerahi nikmat
bersetubuh atau mengadakan hubungan kelamin. Kedua-dua pihak
manusia lelaki dan perempuan berkehendakkan nikmat ini. Maka
merekapun berusaha supaya dapat meraih nikmat ini lalu
terlaksanalah tugas melahirkan zuriat dan mengembang biak
bangsa manusia itu. Namun begitu, adakah manusia itu sedar
akan tugas dan peranannya yang sebenar ? Atau manusia itu
hanya mengejar nikmatNya semata-mata ? Jika manusia yang
berakal tidak tahu atau tidak mahu membezakan antara nikmat
dan tanggungjawabnya, maka tiadalah istimewa manusia itu
berbanding dengan bangsa haiwan. Justeru, terdapat manusia
yang hanya inginkan nikmatNya tetapi tidak mahu pula
mengambil peranan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya di
muka bumi ini, itulah yang menjadi punca kepada masalah
manusia seperti isu buang bayi yang bukan lagi isu asing
dalam masyarakat kita hari ini. Ini berpunca dari kehendak
manusia itu kepada nikmat bersetubuh itu semata-mata bukan
kerana menjalankan tugas dan tanggung jawabnya di muka bumi
untuk melahirkan zuriat dan mengembang biak bangsa manusia.
Bagi haiwan juga Allah
menciptakan nikmat mengawan supaya haiwan itu menjalankan
peranannya melahirkan zuriat dan mengembang biak bangsanya.
Allah tidak menciptakan akal untuk haiwan supaya ia boleh
memilih sama ada mahu atau tidak menjalankan tanggung
jawabnya. Haiwan hanya mematuhi fitrah nalurinya lalu
ia tetap menjalankan tugas memelihara anak-anaknya. Maka,
manusia yang tidak mahu menjalankan tanggung jawab
memelihara anak yang dilahirkannya itu tidaklah sama seperti
haiwan melainkan jauh lebih keji dari haiwan.
Allah mencipta pelbagai
nikmat yang banyak dalam susun atur kehidupan di muka bumi
ini supaya sekalian makhluk menjalankan tugas, peranan dan
tanggung jawab masing-masing. Maka nikmat itu menjadi
imbuhan atau suguhan supaya makhluk menjalankan tugas dan
peranannya bukanlah untuk menjadikan dunia ini syurga dengan
nikmat-nikmat itu ! Oleh
itu, sebagai manusia yang mempunyai kehendak yang banyak,
jika kita ingin meraih nikmat yang banyak maka sepatutnyalah
kita melaksanakan peranan dan tanggung jawab yang banyak
juga.
Mengapa perlu
mengenal Allah ?
Mengenal Allah itu
tiadalah manfaatnya bagi Allah melainkan manfaatnya itu
untuk dirimu sendiri jua. Mengenal Allah itu bukanlah
mengenali rupaNya atau mengenali ZatNya. Mengenali Allah itu
adalah mengenali sifat dan Af'alnya supaya kita dapat
menjalani kehidupan sementara di muka bumi ini dengan
mematuhi aturan dan kehendakNya supaya mendapat kehidupan
yang sejahtera di muka bumi ini dan mendapat kesejahteraan pula selepasnya
meninggalkannya.
Bagaimanakah
Sifat Allah ?
Sesungguhnya Allah itu
tidak bersifat. Jika kamu mengatakan Allah itu bersifat,
maka syiriklah kamu..! Soalnya, beranikah kamu mengatakan
Allah itu tidak bersifat ? Sesungguhnya Allah itu bersifat
dengan sifat ilmu ...
Allah
bersifat dengan sifat ilmu
Allah
tidak bersifat seperti sifat makhluk ciptaannya. Makhluk
ciptaan Allah bergantung dengan sifat kejadiannya sendiri
seperti mana yang disusun atur oleh Penciptanya. Sebahagian
makhluk Allah diberikan kudrat mendengar. Ada makhluk yang
mendengar dengan telinga seperti manusia atau dengan merasai
getaran gelombang bunyi melalui sisik pada perutnya seperti
ular. Makhluk ini mendengar dengan suatu sistem dan
peralatan yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah. Maka
makhluk yang boleh mendengar itu tetap bergantung ia dengan
suatu ciptaan Allah yang lain pula.
Allah bersifat 'maha
mendengar' tidak sebagaimana makhlukNya, Allah mendengar
dengan sifat ilmuNya. Allah tidak memerlukan telinga atau
sebarang peralatan untuk mendengar. Jika Allah memerlukan
telinga untuk mendengar, bererti Allah terpaksa mencipta
telingaNya sendiri lalu bergantung dengan telinga yang
diciptakanNya itu untuk mendengar. Jika begitu, maka Allah
bergantung dengan makhlukNya sendiri maka bukanlah begitu
sifat Allah Yang Maha Agung. Tidaklah Allah itu bergantung
dengan sesuatu dalam apa hal sekali pun. Maka Allah
'mendengar' dan 'melihat' dengan sifat 'ilmuNya' tanpa perlu
Ia akan sebelah telinga atau sebelah mata sekalipun.
Ilmu Makhluk
Makhluk Allah juga
berilmu sabagaimana lebah misalnya, ia mampu membuat sarang
dengan rongga-rongga hexagon (enam segi) yang sama saiznya
tersusun bersambung antara satu sama lain. Lebah-lebah itu
tidak pernah ke sekolah untuk belajar atau diajar ibu
bapanya untuk membuat sarang yang sebegitu rupa. Ini kerana
Allah telah mencipta lebah untuk peranannya yang sebegitu di
muka bumi ini lalu diwahyukan kepada lebah itu segala ilmu
yang diperlukannya untuk menjalankan peranannya itu. Maka
lebah itu sebenarnya menjalankan tugasnya dengan ilmu yang
dianugerahkan Allah kepadanya bukanlah dengan
kebijaksanaannya sendiri. Begitu jugalah makhluk lain yang
mempunyai kebolehan masing-masing bersesuaian dengan
peranannya di muka bumi ini.
Pelbagai rupa kepandaian
dan kebolehan makhluk di muka bumi ini boleh dilihat jika
kita memerhati dengan kesedaran. Keluang misalnya boleh
mengetahui kedudukan buah yang masak dari jarak sejauh 50
km. Akar pokok boleh mengetahui arah sumber air walaupun ia
tidak melihat atau mendengar. Ayam jantan boleh mengetahui
waktu awal pagi untuknya berkokok walaupun ia tidak pernah
memakai jam. Semut boleh mengenalpasti kedudukan gula dari
jarak yang jauh. Labah-labah pandai menyirat jaringnya tanpa
perlu menghadiri kursus atau belajar di mana-mana. Tidak
kurang banyaknya pengetahuan atau kepandaian makhluk lain
yang tidak mampu ditandingi oleh manusia sendiri.
Walau bagaimana pun,
manusia tetap lebih istimewa kerana mempunyai akal supaya ia
boleh mempelajari ilmu pengetahuan untuk memudahkannya
menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawabnya di
muka bumi ini. Seorang petani boleh menghadiri kursus untuk
mendapatkan pengetahuan tentang kaedah terbaru dalam bidang
pertanian. Hatta kalau petani itu merasakan peranannya
sebagai petani itu tidak memuaskan hatinya, ia boleh pula
belajar menyirat pukat, menganyam lukah, mendayung sampan
dan segala ilmu yang berkaitan supaya ia boleh pula menukar
peranannya di muka bumi dari seorang petani kepada seorang
nelayan. Hatta jika ia sanggup ia boleh pula mempelajari
ilmu kedoktoran supaya ia boleh menjadi seorang doktor lalu
merawat orang pulalah jadi peranannya di muka bumi ini.
Manusia yang diberi akal
berkebolehan mentafsir imu yang tersurat dan tersirat dalam
alam sekelilingnya, Manusia boleh menguasai ilmu yang
dianugerahi Allah kepada makhluk lain untuk keperluan
dirinya mahupun memahami kejadian makhluk lain untuk
menguasai makhluk itu pula.
Bangsa manusia semakin
maju ilmu pengetahuannya kerana ada di kalangannya individu
atau kumpulan yang berjaya mentafsir ilmu Allah yang
tersurat atau tersirat pada kejadian makhluk ciptaanNya di
muka bumi ini lalu ilmu itu dijadikan pengetahuan berguna
untuk dikongsikan sesama bangsa manusia bagi memajukan
ketamadunannya. Namun begitu, manusia hanya mentafsir atau
mempelajari ilmu itu bukanlah memiliki apatah lagi bersifat
dengan ilmu itu.
Terdapat juga beberapa
keadaan yang mana individu manusia yang terpilih dianugerahi
Allah ilmu secara terus dari sisiNya. Di dalam surah
Al-Kahfi, Allah sendiri berfirman bahawa terdapat seorang
hambaNya yang soleh ( dikatakan orang namanya khidhir A.S)
dianugerahi "min ladunna 'lmi" yang bermaksud "ilmu dari
sisi Kami". Dalam keadaan ini, ilmu itu adalah ilmu yang
luar biasa pada orang kebanyakan dan berguna untuk
individu itu sendiri menjalankan tugas khusus yang
diamanahkan kepadanya sahaja justeru tidak pula boleh
dipelajari untuk suatu keperluan atau kepentingan yang lain.
Walau sebanyak mana pun
manusia dapat mentafsir, menterjemah, memahami dan
mempraktikkan ilmu Allah itu, nisbah pengetahuan itu
seluruhnya berbanding ilmu Allah adalah umpama setitik air
berbanding seluruh air di tujuh lautan. Terlalu luas ilmu
Allah itu sehingga dengan sifat ilmuNya itu Allah menyusun
atur segalanya di langit dan bumi dan berlakulah segalanya
menurut peraturan itu termasuklah diri kita sendiri yang
merupakan sebahagian kecil dari peraturan itu sendiri.
|